Fill 1

+ 011- 5907 3549

im

No 43-2 Blok A, Plaza KL Traders

Follow us :
button

Kuala Lumpur: Persatuan Hak Masyarakat Malaysia (PHMM) merekodkan sebanyak 32,880 kes membabitkan nilai tuntutan termasuk kadar faedah hampir RM10 bilion oleh sindiket along yang ‘dikenakan’ terhadap mangsa.

Pengerusinya Mohammad Mustafa Shaik Ismail berkata, data berkenaan direkodkan badan bukan kerajaan (NGO) itu dari September 2022 hingga Mei lalu.

“Setiap hari PHMM menerima kira-kira 30 aduan mangsa yang dijerat dengan Along meminta bantuan.

“Sepanjang September hingga Mei lalu, kita merekodkan 32,880 aduan membabitkan nilai pokok pinjaman RM8 juta serta hampir RM10 bilion nilai tuntutan Along termasuk kadar faedah yang dikenakan terhadap mangsa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,852 kes berjaya diselesaikan membabitkan nilai RM4 juta yang dibayar kepada Along,” katanya.

Mohammad Mustafa berkata, pihaknya mendapati sebanyak 80 peratus mangsa along terdiri daripada kalangan wanita.

“Dari segi pecahan kes, 50 peratus mangsa adalah keluarga susah yang membuat pinjaman along kerana desakan dan kelangsungan hidup seperti membeli makanan dan susu anak, membayar bil serta sewa tertunggak dan perubatan.

“Sebanyak 20 peratus pula ialah pelajar universiti dan kolej yang meminjam along kerana gaya hidup seperti beli beg tangan mewah, telefon pintar, komputer riba dan vape bukan untuk tampung bayar yuran pengajian.

“Manakala sebanyak 30 peratus lagi mangsa mengakui mereka meminjam along untuk membeli dadah dan berjudi serta berseronok dengan wanita,” katanya.

Menurutnya, mangsa bukan hanya terdiri daripada rakyat biasa, malah daripada latar belakang berlainan termasuk selebriti, pegawai polis, tentera, doktor, ahli perniagaan serta orang kenamaan berpangkat Datuk.

Katanya, sebanyak 10 peratus daripada jumlah kes terbabit akan datang semula meminta bantuan dengan PHMM selepas meminjam dengan along buat kali kedua.

“Mungkin orang ingat caj 10 peratus itu bisnes. Ya, memang sebelum ini, kami tidak mengenakan bayaran, tetapi ada mangsa mengambil kesempatan apabila tidak serik meminjam lagi selepas kesnya kami selesaikan.

“Sejak November lalu, kami mengenakan caj 10 peratus bagi memberi pengajaran kepada mangsa supaya jangan mudah membuat pinjaman along dan datang lagi untuk meminta bantuan untuk menyelesaikan kes mereka.

“Caj itu juga berpatutan, sesuai dengan keadaan sekarang kerana kami ada kos operasi termasuk sewa pejabat, gaji pekerja dan utiliti. Sebelum ini kami tiada pejabat dan segalanya dilakukan secara ‘mobile’ di mana-mana saja,” katanya.

Guna data peribadi untuk ugut mangsa

Kuala Lumpur: Mengumpan orang ramai dengan menawarkan pinjaman mudah menerusi pautan aplikasi khas sebelum menyedut data peribadi dalam telefon bimbit mangsa.

Itu modus operandi along untuk menjerat mangsa sebelum menjadikannya sebagai modal mengugut individu terbabit, keluarga dan kenalan mereka.

Mendedahkan taktik itu, Pengerusi Persatuan Hak Masyarakat Malaysia (PHMM) Mohammad Mustafa Shaik Ismail berkata, seiring dengan perkembangan teknologi, sindiket along semakin ‘canggih’ untuk memperdaya dan menjerat mangsa.

“Jika sebelum ini, proses pinjaman memerlukan pelbagai dokumen seperti slip gaji, penyata bank dan pengesahan majikan.

“Tetapi sekarang, sindiket ini meminta pemohon menekan pautan dihantar menerusi WhatsApp sebelum mengarahkan mangsa memuat naik aplikasi khas kononnya bagi mengisi maklumat diri untuk membuat permohonan pinjaman.

“Namun, sebaik mangsa memuat naik aplikasi itu, segala maklumat termasuk data peribadi, gambar, video dan senarai kenalan dalam telefon bimbit mangsa disedut tanpa disedari,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, mangsa hanya menyedari diperangkap along selepas kenalan dalam telefon bimbit termasuk keluarga, majikan dan rakan mereka diganggu dengan mesej kononnya mangsa gagal melunaskan hutang.

“Mereka akan mengganggu semua kenalan mangsa dengan mesej mengaibkan dan ugutan termasuk menyebarkan gambar mangsa.

“Ada mangsa mengalami tekanan melampau sampai hendak bunuh diri selepas diperangkap dengan puluhan along, hanya selepas memuat naik aplikasi itu ke telefon bimbitnya.

“Jadi, hati-hatilah jangan klik pautan sebarangan atau biarkan data peribadi dan kad pengenalan kita disalah gunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Jalan pintas ‘menjemput’ bala

Kuala Lumpur: Biarpun kes dijerat along bukan isu baharu namun masih ramai masyarakat terperangkap sehingga menjadi mangsa.

Kebiasaannya, kebanyakan mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen ini dijerat akibat kesilapan mereka yang mencari jalan singkat dan mudah untuk menyelesaikan masalah kewangan dialami.

Ironinya, ada juga kes mangsa terjerat daripada pelbagai cara seperti termasuk dalam perangkap aplikasi dicipta khas untuk memperdaya orang ramai dan kad pengenalan mereka disalahgunakan.

Harian Metro berkongsi pelbagai kisah mangsa along agar dijadikan pengajaran dan iktibar kepada masyarakat supaya tidak terperangkap dengan jerat sindiket terbabit.

 

© Copyright 2023-2024 Persatuan Hak Masyarakat Malaysia